Friday, January 21, 2011

Remaja dan Iqra'


Remaja: Ustaz, saya nak belajar mengaji
Ustaz: Boleh, takde hal. Datang je bawak Quran
Remaja: Tapi saya nak belajar dari mula
Ustaz: Bolehhh, mula dengan surah al-Fatihah
Remaja: Tapi saya tak boleh mengaji, baru nak belajar Iqra' dengan ustaz..
Ustaz: Hmmmm..

Remaja= bukan aku, tapi pelajar peringkat diploma.
Ustaz= pun bukan aku, tapi sahabat seofis.

Bila dibentangkan mengenai statistik keputusan peperiksaan akhir semester lepas, subjek Tahfiz merupakan antara yang ramai pelajarnya gagal. Lantas dipanggil ustaz tersebut dalam satu mesyuarat untuk mengenalpasti sebab-musabab peratusan kegagalan yang sangat tinggi.

Sedutan dialog di atas (mungkin tidak setepat dengan kejadian sebenar) merupakan antara yang dilaporkan oleh ustaz al-hafiz terbabit dalam laporan lisan beliau. Apa sebenarnya merunsingkan aku ialah laporan selanjutnya menjelaskan:

a) ada di antara pelajar yang langsung tak tau mengaji (standard)
b) ada yang langsung tak mengenal huruf hijaiyah (alif sampai ya)
c) ada yang tak tau macamana kedudukan huruf ain bila nak disambung sebelum dan selepas huruf lain (ain di tengah perkataan)

Risau, memang merisaukan sekiranya 20% daripada pelajar yang tak dapat mengaji. Kalau student 1000 orang, maksudnya 200 orang tak tau mengaji! Bayangkan, khazanah yang lebih dari 1400 tahun dari junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak dijiwai oleh remaja (atau mungkin dewasa? warga emas?). Sedangkan al-Quran itu mukjizat terbesar bagi umat Muhammad.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 18(usaha copy paste):

لَوْ أَنْزَلْنا هذَا الْقُرْآنَ عَلى‏ جَبَلٍ لَرَأَيْتَهُ خاشِعاً مُتَصَدِّعاً مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ وَ تِلْكَ الْأَمْثالُ نَضْرِبُها لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:
"Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya akan engkau lihat gunung itu tunduk berpecah-belah disebabkan takut kepada Allah; dan perumpamaan itu Kami perbuat untuk manusia supaya mereka berfikir".


Banyak hadis mengenai kelebihan al-Quran, ini antaranya (turut usaha copy paste):

Daripada Abu Zar ra berkata : Rasulullah telah bersabda : “Wahai Abu Zar , hendaklah engkau berpagi-pagi dengan mempelajari satu ayat dari kitab Allah adalah lebih baik bagi engkau daripada engkau melaksanakan solat (sunat) 100 rakaat… Hendaklah engkau berpagi-pagi dengan mempelajari satu bab (tajuk) ilmu, sama ada engkau dapat mengamalkannya atau tidak mengamalkannya, adalah lebih baik bagi engkau daripada engkau melaksanakan solat (sunat) 1000 rakaat”

(sila rujuk http://ulumalquran.blogspot.com)

Besar pahala student yang tak pandai mengaji, mengaku dan menyatakan keinginan untuk belajar Iqra'. 

Tertanya pada diri sendiri, cukup ke amalan membaca al-Quran aku ni? Sekadar 20 ayat minimum sehari? Tajwidnya? Pemahamannya? Pengamalan daripada ayat-ayatnya?

Tertanya juga dalam sudut hati yang negatif, apakah sistem pendidikan negara kita gagal membudayakan pembacaan al-Quran? Apa jadi pada cikgu agama di sekolah rendah dan menengah? Ada kelas KAFA, taska/tadika menawarkan program mengaji. Tidak cukup itu, ramai lagi ustaz dan ustazah mengajar al-Quran di rumah pada waktu malam. Tapi?


Atau ibu bapa tidak berperanan? 
Atau diri pelajar sendiri perlu dipersalahkan?
Atau hiburan di TV yang salah?


Moga Allah sentiasa memberi rahmat dan petunjuk kepada aku dan keluarga supaya terus membudayakan pembacaan al-Quran selama-lamanya. Dan moga Malaysia dijauhkan dari bala bencana..

Sudahkah anda membaca al-Quran hari ini? 

No comments:

Post a Comment