Saturday, October 29, 2011

Glorious Times - A Pictorial of the Death Metal Scene (1981-1991) Part 1

Jarang sangat saya membeli bahan bercetak berkait metal. Kali terakhir yang saya ingat ialah dalam tahun lepas apabila kedai majalah tempatan ada menjual Terrorizer. Bukan apa, saya sememangnya tidak bersemangat untuk membaca majalah metal. Bukan tidak berminat, tidak bersemangat.

Setelah diasak oleh Dr. Ben untuk cuba membaca Swedish Death Metal, saya tergerak untuk membaca semula. Jadi saya mulakan dengan membeli buku ini.

Pendapat saya sekilas pandang apabila buku ini berada di tangan saya ialah, ini bukannya buku, tetapi lebih kepada majalah. Kertas, cara cetakan, tebalnya, mirip kepada majalah Wanita. Saya tidak pasti kenapa dikatakan sebagai satu buku. Tiada ISBN, hanya hak cipta terpelihara oleh individu yang menulis sendiri.

Isi kandungan? Ianya lebih kepada satu koleksi coretan pengalaman oleh band-band yang saya kira hampir 85% daripada Amerika Syarikat sendiri. Kalau tidak ditulis oleh ahli band tersebut, ianya ditulis oleh rakan karib band. Gambar-gambar memang banyak, dibekalkan oleh ahli band atau rakan juga.

Sejujurnya, saya tidak menganggap ini satu buku yang boleh memberi gambaran umum mengenai scene death metal lewat 80-an atau awal 90-an.

Sebabnya mudah, ia hanya coretan pengalaman yang hanya boleh dirasai oleh mereka yang terlibat dalam susur-galur pengalaman tersebut. Jadi, saya kira ruang lingkup pembaca menjadi semakin terhad, seolah-olah target market "buku" ini hanya kepada golongan pembaca dari Amerika, dan terlibat dengan circle mereka.

Walau bagaimanapun, saya masih tertarik dengan beberapa coretan yang saya sendiri dapat merasai di awal 90-an dulu. Ketika surat menjadi medium komunikasi, tape trading adalah aktiviti wajib, dengan terma "stamp back please" di mana setem untuk penghantaran sebarang tape/surat akan disapu gam untuk dicuci dan diguna semula (taktik ini telah lama dihidu oleh pihak Pos). Daripada gambar yang terpampang, memang menunjukkan situasi masa 90-an. Saya ingat juga ada bergambar dengan keadaan ganas, cuma tak pernah sepanjang hayat saya memakai corpsepaint.

Setelah meneliti kandungan band di dalam buku ini, saya terus menyelak halaman Disharmonic Orchestra. Band ini saya kira agak unik death metalnya. Saya kira ini saja band dari Austria, muncul dalam buku ini. Yang lain bukan dari Amerika termasuklah Napalm Death (UK), Overthrow, Sacrifice (kedua-dua dari Kanada) dan Disharmonic Orhestra.

Cuma cerita yang diketengahkan oleh Disharmonic Orchestra berkisar tentang tour US mereka, menjelaskan buku ini hanya menumpukan senario di US dan kroni penulisnya sahaja. Mungkin satu usaha untuk membangkitkan nostalgia dalam keadaan "syok sendiri". Namun, saya masih seronok membaca pengalaman dan melihat gambar band-band lama yang terkandung.

Agak kelakar bagaimana Herwig (bekas bassist Disharmonic Orchestra) disalahanggap sebagai Axl Rose (GnR), sedangkan pada saya sangat lain rupa bentuknya.

Sehingga saat ini, saya hanya memfokuskan untuk membaca band yang menjadi tumpuan saya seperti Disharmonic Orchestra, Derketa, Nuclear Death. Mungkin di lain post (sekiranya rajin) akan diberi ulasan ringkas tentang pengalaman band lain.

Kualiti kertas cetakan memang terbaik, namun begitu, kualiti hasil keseluruhan hanya di tahap sederhana pada pendapat saya. Susunan gambar, kualiti gambar yang discan, font yang digunakan, tatacara penulisan yang tidak beredit betul telah membuatkan saya sekali lagi menekankan bahawa ianya bukanlah sebuah buku yang proper, tetapi lebih kepada magazine yang tebal.


Cover depan majalah Glorious Times

Terselit pula gambar rakan lama dari JB, saudara Intheren (aka Indrajit), peminat tegar old school death metal, dan di antara pembeli awal first pressing majalah ini.

Senarai band keseluruhan yang ada dalam buku ini.

Mukasurat Disharmonic Orchestra

Disharmonic Orchestra tour di US, maaf gambar terlupa untuk dirotate.

Masih ingat dengan Lori Bravo dari Nuclear Death? Antara band yang vokalisnya adalah wanita. Arch Enemy boleh main jauh-jauh.. Lori Bravo ni ebih cantik daripada geng Derketa/Mythic

Possessed.. masih teringat di fikiran bagaimana legendnya mereka..





No comments:

Post a Comment