Tuesday, January 24, 2012

Cerita pasal Dark Angel

Ini bukannya berkenaan siri TV Dark Angel, walaupun Jessica Alba memang cun.

Sebabnya, tengah layan album "Darkness Descends".

Saya mula mengenali Dark Angel apabila VSP mengeluarkan album ini di pasaran tempatan. Komen asal, memang thrash habis waktu itu. Saya selalu meletakkan Dark Angel sebagai band thrash metal dengan sedikit saduran death metal. Walaupun mereka telah terlebih awal mengeluarkan "We Have Arrived" pada tahun  1984, saya lebih suka mendengar "Darkness Descends" sebagai album mereka yang terbaik.

Mengikut tahun keluaran 1986, ketika itu thrash metal Bay Area telah dikenali dunia. Metallica mengeluarkan "Master of Puppets", Megadeth dengan "Peace Sells..", Slayer dengan "Reign in Blood", Exodus dengan "Bonded By Blood" (1985). Semuanya dikeluarkan pada era yang hampir sama. Ini membuatkan album "Darkness Descends" agak diterima berbanding "We Have Arrived" (1984).

Thrash Dark Angel berbeza dengan band Bay Area lain. Kelajuan menjadi teras kepada Dark Angel dalam album "Darkness Descends", seangkatan dengan Slayer pada ketika itu. Mungkin sebab Gene Hoglan yang menjadi drummernya, maka permainan yang laju dan konstan menjadi satu kemestian. Kualiti audionya memang agak kasar sesuai dengan sound thrash 80-an.

Saya ketinggalan dalam mengikuti perjalanan hidup Dark Angel selepas album "Leave Scars" (1989). Album tersebut, pada saya, tidak memiliki ciri yang saya cari seperti di dalam "Darkness Descends". Album terakhir, "Time Does Not Heal" (1991) memang di luar jangkauan saya langsung. Selepas itu Dark Angel dibubarkan. Ada cubaan untuk menubuhkan semula pada tahun 2002. Pada tahun 2005, mereka telah berkubur selamanya disebabkan vokalis Ron Reinhart mengidap penyakit.

Dan rupanya juga, Mustaine pernah menjemput Eric Meyer untuk menyertai Megadeth pada era "Darkness Descends" tetapi ditolak.

Satu band yang agresif, cukup untuk mendefinisikan semuanya berkenaan Dark Angel.

No comments:

Post a Comment